GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Wan Faizal Ismayatim

POLIS menahan seorang lelaki disyaki dalang penipuan pelaburan ‘durian Musang King’ membabitkan kerugian hampir RM850,000.

Lelaki tempatan berusia 25 tahun berasal dari Kota Belud itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Telipok Square di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek ditahan susulan laporan polis daripada seorang mangsa yang membuat bayaran sebanyak RM12,000 dalam pelaburan itu melalui sebuah syarikat.

Katanya, syarikat itu menawarkan pelaburan ‘Durian Musang King’ melalui iklan di WhatsApp yang menjanjikan pulangan sehari sebanyak RM720 selama 78 hari.

“Mangsa tertarik dengan ganjaran dijanjikan lalu membayar RM12,000 pada 11 November lalu ke dalam akaun bank milik sebuah syarikat, namun mangsa hanya dapat pulangan RM3,600 dan selepas itu tiada bayaran diterima.

“Mangsa diberitahu oleh wakil syarikat melalui aplikasi Telegram bahawa sistem syarikat dalam proses naik taraf dan tidak dapat membuat bayaran kepada pelabur.

“Bagaimanapun, mangsa berasa pihak syarikat berkenaan telah menipu dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Habibi berkata, dengan penahanan suspek, pihaknya dapat menyelesaikan 52 laporan polis yang diterima oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan anggaran kerugian RM848,719 setakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan individu atau sindiket yang menawarkan perniagaan pelaburan dengan janji pulangan lumayan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 10:14 PM