Shahrinnahar Latib


PEKEBUN kerugian RM3,700 selepas menjalankan urusniaga dengan pembekal durian, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 54 dari Raub itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang menawarkan pelbagai jenis durian, termasuk Musang King dan Udang Merah dari Johor.

“Mangsa yang percaya dengan tawaran suspek menyatakan minat untuk membeli durian berkenaan dan memesan tiga bakul durian Musang King gred B; Musang King gred A (empat bakul) dan tiga bakul durian jenis Udang Merah.

“Suspek kemudiannya memaklumkan kepada mangsa bahawa anggaran harga semua buah dipesan mangsa berjumlah RM11,000 dan meminta mangsa memindahkan terlebih dahulu RM5,000 sebagai deposit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa bagaimanapun hanya mampu menyediakan RM3,700 dan suspek bersetuju dengan jumlah itu serta meminta mangsa memindahkan wang berkenaan ke nombor akaun diberikan.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas buah ditempah tidak sampai pada hari dijanjikan dan gagal untuk menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 1:30 PM