OPERASI Carilamat untuk mengesan Jaafar  (kiri) dan Wan Muhd Sufian masih diteruskan. FOTO IHSAN APMM
OPERASI Carilamat untuk mengesan Jaafar (kiri) dan Wan Muhd Sufian masih diteruskan. FOTO IHSAN APMM
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan pesawat AW 139 untuk mengesan dua nelayan yang hilang di laut pada operasi, hari ini.

Selain menggunakan pesawat, kapal KM Nusa dan bot PL 107 milik Jabatan Perikanan turut dikerah untuk mencari dan menyelamat (Carilamat) pada hari kedua, hari ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi pencarian mangsa pertama iaitu Wan Muhd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, merangkumi keluasan 271.78 batu nautika.

Katanya, operasi Carilamat mangsa kedua yang juga tekong bot, Jaafar Sulong, 66, merangkumi sektor pencarian seluas 275.76 batu nautika.

"Selain APMM serta Jabatan Perikanan, operasi Carilamat turut disertai komuniti nelayan.

"Operasi Carilamat Jaafar dan Wan Muhd Sufian tetap diteruskan walaupun berhadapan dengan cuaca buruk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jaafar dilaporkan keluar ke laut bersama rakannya, Baharuddin Abdullah, 47, pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, mayat Baharuddin ditemukan kira-kira 17 batu nautika dari Pulau Kapas, pada 1 tengah hari semalam.

Seorang lagi nelayan, Wan Muhd Sufian dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot gentian kaca, pagi semalam.

Bot gentian kaca dinaiki Wan Muhd Sufian ditemui masih bergerak oleh nelayan dan ditarik masuk ke jeti di Kuala Ibai, pagi semalam.

Mengulas mengenai keadaan cuaca, Muhammad Suffi berkata, kelajuan angin antara 20 dan 30 kilometer sejam, manakala ketinggian ombak antara 1 dan 1.5 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:57 PM