MAYAT salah seorang mangsa. FOTO Ihsan APMM
MAYAT salah seorang mangsa. FOTO Ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA mayat dijumpai terapung di dua lokasi berasingan dekat Tanjung Laboh, Batu Pahat dan Sungai Tampok, Benut di Pontian, pagi ini.

Kedua-dua mayat yang ditemui itu dipercayai adalah dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Pisang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat pertama ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Zon Maritim Batu Pahat kira-kira satu batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat, 8.15 pagi tadi.

Mayat kedua dijumpai di kira-kira satu batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut pada 9.50 pagi oleh nelayan tempatan yang turut serta dalam operasi pencarian.

“Kita menjumpai mayat pertama pada kedudukan kira-kira 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang, manakala yang kedua kira-kira tujuh batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Mayat dua nelayan itu masing-masing dibawa naik ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat dan Jeti Nelayan Ayer Baloi bagi menjalani proses pengecaman serta pengesahan oleh keluarga mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bot dinaiki dua nelayan berkenaan belum dijumpai.

Katanya, mayat pertama akan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat dan seorang lagi dihantar ke Hospital Pontian.

Semalam, Harian Metro melaporkan Mohd Khair Ismail, 38, dan sepupunya, Mohd Yusri Mohd Yusof, 43, hilang ketika sedang menjaring ikan di perairan Pulau Pisang.

Mereka yang berasal dari Ayer Baloi di Pontian, dikatakan keluar menjaring ikan di perairan berkenaan dengan menggunakan sebuah bot fiber milik bapa mertua Mohd Khair, Ramzan Mohd Ali, 64.

Mereka keluar ke laut pada 5.30 petang Khamis menuju ke Pulau Pisang untuk menjaring ikan.

Kelmarin, rakan mangsa menjumpai barangan seperti kad pengenalan, telefon dan rokok milik dua lelaki itu, tetapi mereka tidak dapat dikesan.

Operasi SAR sudah dilancarkan sejak kelmarin dan membabitkan pihak polis, bomba, APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 11:40 AM