Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Rundingan sedang dilakukan dengan pihak berkuasa Thailand bagi menyelesaikan masalah rakyat tempatan yang berdepan denda sehingga RM2,500 dan kemungkinan disenarai hitam akibat dokumen perjalanan tamat tempoh.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beliau menerima aduan penduduk kawasan berhubung isu itu, yang berpunca daripada kegagalan mengisytihar (cop) keluar ketika sekatan akibat Covid-19 yang lalu.

Katanya, beliau sudah mengemukakan masalah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini dalam proses rundingan dengan kerajaan Thailand.

"Perbincangan diharap dapat memberi jalan penyelesaian kepada masyarakat terkesan kerana jumlahnya bukan kecil, tambahan pula ramai yang mahu ke sana (Thailand) atas pelbagai urusan selepas hampir tiga tahun tidak merentas sempadan.

"Perkara ini (denda dan senarai hitam) kita tidak boleh ubah melainkan ia mendapat persetujuan daripada kerajaan Thailand," katanya pada sidang media selepas melawat ICQS Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff merangkap ahli Parlimen Rantau Rantau Panjang diiringi oleh Anggota Imigresen Rantau Panjang meninjau kenderaan persendirian yang mula memasuki kedua-dua sempadan darat ketika tinjauan di pintu masuk Kompleks ICQS  Rantau Panjang. susulan kebenaran merrentas Malaysia-Thailand bermula hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff merangkap ahli Parlimen Rantau Rantau Panjang diiringi oleh Anggota Imigresen Rantau Panjang meninjau kenderaan persendirian yang mula memasuki kedua-dua sempadan darat ketika tinjauan di pintu masuk Kompleks ICQS Rantau Panjang. susulan kebenaran merrentas Malaysia-Thailand bermula hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang itu kembali sibuk susulan pembukaan semula sempadan untuk kemasukan dengan kenderaan.

Mengulas pembukaan itu, Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia dapat membantu merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara serta mengembalikan hubungan kekeluargaan antara rakyat Malaysia-Thailand.

"Rata-rata individu yang saya temui hari ini meluahkan rasa gembira dapat merentas sempadan dengan menaiki kenderaan sendiri kerana memudahkan lagi perjalanan mereka, namun perlu disertakan semua dokumen lengkap.

"Saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand yang bertolak ansur dengan membenarkan kenderaan Malaysia dibawa masuk tanpa caj dalam tempoh sebulan ini," katanya.

Difahamkan Thailand mengenakan caj RM100 untuk setiap kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang diletakkan di negara itu selepas pemiliknya pulang sebelum sempadan ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 7:07 PM