Norzamira Che Noh

Shah Alam: Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) gusar berhubung kaedah pengagihan subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam seperti diumumkan kerajaan pada 9 Februari lalu.

Setiausahanya Mohd Muzamri Soib berkata, ia berikutan sehingga kini tiada mekanisme mengenai cara agihan subsidi berkenaan diumumkan kerajaan.

"Subsidi berkenaan adalah inisiatif yang bagus dan tepat pada masanya terutamanya ketika negara menghadapi kekurangan bekalan ayam.

"Bagaimanapun, kita (penternak) masih tidak tahu jika ada kategori serta bagaimana cara agihannya (dibuat).

"Kami juga risau jika ia tidak sampai kepada penternak sedangkan kami yang menanggung pelbagai kos termasuk kenaikan harga makanan, ubat-ubatan dan kos elektrik," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi PPANS, Idrus Zainal Abidin dan Exconya Nordin Kassim.

Mohd Muzamri berkata, harga makanan ayam sudah naik beberapa kali iaitu dari RM45 untuk 50 kilogram dan kini mencecah RM140 sejak pandemik Covid-19.

Menurutnya, penternak juga terpaksa menanggung kenaikan sehingga 28 peratus bagi kos operasi sejak pandemik berlaku.

Sebelum ini, jemaah Menteri bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam.

Keputusan itu dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang iaitu RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard pada RM8.90 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dipetik berkata, kerajaan bersetuju memberi subsidi sebanyak lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori.

Pemberian subsidi ini untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutama harga makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 8:08 PM
IDRUS Zainal Abidin (tengah) bersama Mohd Muzamri (kanan) dan Nordin pada sidang media mengenai isu bekalan ayam serta telur ayam di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
IDRUS Zainal Abidin (tengah) bersama Mohd Muzamri (kanan) dan Nordin pada sidang media mengenai isu bekalan ayam serta telur ayam di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar