GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Berang ditegur mencuri wang ibu sendiri, seorang lelaki mengugut menggunakan pisau dalam kejadian amuk di kawasan gerai makan di Pandan Indah, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai jurujual komputer.

"Menurut pengadu, dia didatangi suspek dikenalinya yang mengamuk dan mengacu pisau pemotong sayur dengan mengugut mahu mencederakan mangsa ketika berada di kawasan berkenaan jam 12.30 tengah malam.

"Susulan itu, kami menahan suspek berusia 32 tahun di Jalan Pandan Indah 4/5, Pandan Indah kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Kami turut merampas satu pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan dilakukan mendapati punca kejadian itu dipercayai berpunca pengadu menegur dan menasihati suspek supaya tidak mencuri wang ibunya.

"Namun, nasihat pengadu tidak diedahkan dan suspek dikatakan tidak mahu mangsa masuk campur urusannya.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan dadah dan jenayah," katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 2 Jun nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 4:04 PM