GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Perbuatan seorang tukang kebun mencuri bungkusan di sebuah pangsapuri di Taman Nirwana, di sini, Khamis lalu, terbongkar apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, pengadu memaklumkan dihubungi pihak penghantar barang untuk menghantar bungkusan barangan dibelinya secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu kemudian meminta individu berkenaan meletakkan bungkusan itu di atas meja yang disediakan di lobi lif pangsapuri terbabit kerana dia tiada di rumah.

"Semasa pengadu sampai di lobi untuk mengambil bungkusan itu jam 8.30 malam hari sama, dia mendapati bungkusan berkenaan hilang disyaki dicuri.

"Susulan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya di Kampung Pandan, di sini, jam 4.50 petang, kelmarin.

"Kami turut merampas dua bungkusan mengandungi pen Ipad dan produk kosmetik dianggarkan bernilai RM130 milik pengadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek adalah mensasarkan bungkusan yang diletakkan di peti surat rumah.

"Hasil semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah, manakala ujian awal air kencing lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 14 Februari nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 1:49 AM