Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Helah dua lelaki tempatan menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan berasingan di Pandan Indah dan Taman Muda di sini, pada 30 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun yang memaklumkan disamun pada 31 Disember tahun lalu.

"Dalam kejadian samun pada 1.20 tengah hari itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh sedang membuat kerja ubah suai rumah di Taman Permata.

"Mangsa kemudiannya didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menyatakan menjaga kawasan berkenaan.

"Suspek meminta sejumlah wang tunai dan telefon bimbit milik pengadu sebelum mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM100 serta telefon bimbitnya sebelum suspek terbabit terus beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 55 dan 35 tahun dalam serbuan di Pandan Indah dan Taman Muda jam 12.25 tengah malam.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah, suspek pertama ada tiga rekod berkaitan kes dadah serta jenayah, manakala suspek kedua mempunyai 14 rekod kes dadah dan jenayah selain dikehendaki dalam kes dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Soal siasat terhadap suspek akan diteruskan.

"Suspek direman selama lima hari bermula 30 Januari lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 dan 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan serta menyamar sebagai penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 7:56 PM