PELBAGAI jenis hidupan liar dilindungi menjadi sasaran penyeludup yang menggunakan parcel.
PELBAGAI jenis hidupan liar dilindungi menjadi sasaran penyeludup yang menggunakan parcel.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Pengsan dan kaku 'keras' di dalam kotak namun masih lagi bernyawa. Itu nasib haiwan liar dilindungi disuntik ubat bius atau dadah sebelum dihantar atau diseludup menggunakan khidmat pos kepada pelanggan.

Ternyata kawalan ketat semua pintu negeri dan sempadan negara menyebabkan aktiviti jenayah penyeludupan haiwan liar dilindungi beralih modus operandi dengan memilih kaedah pengiriman melalui kurier sebagai taktik paling pantas dan selamat.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang dihubungi wartawan mengakui kegiatan penyeludupan haiwan liar dilindungi menggunakan parcel, kurier atau pos dikesan terus berlaku hingga kini.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati pelbagai spesies haiwan diseludup menggunakan parcel, kurier atau pos terutamanya membabitkan haiwan dijadikan binatang peliharaan.

"Antaranya pelbagai reptilia seperti ular ball python, boa dan kura-kura seperti Indian star tortoise dan radiated tortoise, burung dan hidupan mamalia kecil lain.

"Kaedah digunakan ini (menggunakan kurier dan parcel) jelas satu penganiayaan dan kezaliman terhadap hidupan liar yang mahu dijual atau diseludup," katanya.

Kadir berkata, haiwan itu biasanya dikurung dalam kotak kecil dan sempit serta diikat dengan pelekat supaya tidak bergerak atau mengeluarkan bunyi.

"Lebih menyeksakan apabila haiwan ini tidak boleh bergerak, kurang oksigen, tiada makanan dan diberikan dadah untuk kekal diam atau tidur sepanjang tempoh penghantaran kotak berkenaan kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan risiko haiwan itu untuk mati dalam perjalanan adalah tinggi.

"Kaedah penghantaran menggunakan parcel turut dilakukan bagi barangan terbitan hidupan liar seperti produk perubatan tradisional (mengandungi unsur hidupan liar), trofi dan bahagian hidupan liar termasuk sisik tenggiling, gading gajah dan sumbu badak.

ANTARA hidupan liar yang dirampas Perhilitan ketika cuba diseludup guna parcel.
ANTARA hidupan liar yang dirampas Perhilitan ketika cuba diseludup guna parcel.

"Penyeludupan menggunakan taktik ini ada yang digunakan untuk pasaran tempatan terutamanya perubatan tradisional dan sebahagiannya untuk dihantar ke negara lain," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perhilitan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi di pintu masuk negara termasuk dibantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Maqis dan Pos Malaysia dalam membenteras kegiatan penyeludupan hidupan liar.

Menurutnya, modus operandi itu sudah lama dikesan terutama dalam kalangan peniaga hidupan liar dilindungi yang menggunakan laman sosial Facebook untuk mencari pelanggan.

"Kaedah itu memberi kesempatan kepada penyeludup untuk mengembangkan rangkaian perniagaan serta melipat-gandakan keuntungan mereka walaupun ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kegiatan mereka tidak lagi terhad menggunakan lori, bas ekspres atau kereta apabila kaedah tempahan dan penghantaran menggunakan kurier membolehkan mereka memperoleh keuntungan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 12:00 PM