FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kota Bharu: Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menahan seorang lelaki kerana disyaki menyeludup masuk pelbagai spesies haiwan eksotik bernilai lebih RM60,000 di Kampung Kebun dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan pada 11.30 malam oleh sepasukan anggotanya yang menjalankan rondaan Op Benteng.

"Lelaki itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Aeroback. Pemeriksaan yang dilakukan menemukan 80 ekor kura-kura sulcata tortoise bernilai RM44,000; 12 ekor kura-kura Indian star tortoise (RM 12,000); ular sawa reticulated phyton (RM1,600); tiga ekor tupai red giant flying squirrel (RM1,800) dan cicak black dragon lizard (RM2,400).

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan ialah RM65,800," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah berkaitan haiwan yang dibawa.

"Kesemua haiwan eksotik itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan di negara ini," katanya, menambah kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Perhilitan 1972 dan Seksyen 68 (1)(a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 11:41 AM