MUHAMMAD Syafiq diburu sebulan selepas melarikan diri dari Penjara Jelebu. FOTO Ihsan Polis
MUHAMMAD Syafiq diburu sebulan selepas melarikan diri dari Penjara Jelebu. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Selepas hampir sebulan diburu, banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, Negeri Sembilan pada 10 April lalu akhirnya diberkas polis di daerah ini, kelmarin.

Muhammad Syafiq Rohmat, 32, ditahan pada 5.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuala Selangor.

Banduan itu ditangkap bersama dua lelaki masing-masing berusia 23 tahun di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Bukit Rotan, di sini.

Difahamkan, Muhammad Syafiq adalah banduan terakhir ditahan selepas melarikan diri dari Negeri Sembilan, sementara enam banduan lain berusia 28 hingga 62 tahun berjaya ditahan di lokasi dan tarikh berbeza sekitar negeri itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek berusia 23 tahun menemukan lapan peket plastik lut sinar berisi heroin dan dua peket syabu.

"Heroin seberat 455.60 gram bernilai RM15,000 manakala syabu seberat 24 gram pula bernilai RM2,400.

"Semakan mendapati banduan terbabit terbabit dalam penagihan dadah syabu dan heroin sejak 13 tahun lalu, manakala dua lagi yang ditahan didapati seorang daripadanya terbabit dengan pengedaran dadah dan seorang lagi penagih dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, banduan itu turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dia juga mempunyai rekod dikehendaki iaitu mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan (KK).

"Banduan itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu untuk tindakan lanjut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu melarikan diri pada 10 April lalu.

Selain Muhammad Syafiq, enam lagi banduan itu adalah Sohaimi Khalid, 50; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; Shazuan Md Sharif, 32; Mohd Zairizan Zainal, 42 dan seorang warga asing, Zainuddin, 62.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 8:26 PM