SUSPEK dan dadah yang dirampas daripadanya. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK dan dadah yang dirampas daripadanya. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


BUAT kerja sambilan dengan menjual dadah. Itu kegiatan seorang pemandu bot pelancong di Langkawi yang ditahan polis bersama heroin dan syabu bernilai RM8,000.

Tangkapan dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di Kampung Nyiur Chabang, 12 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan ketika berjalan kaki sambil membawa beg silang dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditahan suspek yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun gagal meloloskan diri.

“Pemeriksaan dalam beg silang miliknya menemui dua peket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 97.40 gram (g),” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, dalam beg silang sama, polis turut menemui dua peket plastik lut sinar lagi mengandungi syabu seberat 76.70 g.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM8,000 dipercayai untuk diedarkan kepada penagih di kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman dan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 9:17 AM