OPERASI pencarian disambung semula di tiga kawasan. FOTO ihsan APMM
OPERASI pencarian disambung semula di tiga kawasan. FOTO ihsan APMM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ahli keluarga mangsa yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani, di sini, kelmarin, mengambil pendekatan menggunakan helikopter bagi membantu pihak berkuasa mencari mangsa.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah menerusi kenyataan hari ini berkata, keluarga mangsa memaklumkan helikopter persendirian yang digunakan berlepas ke lokasi kejadian, 7.30 pagi tadi.

Selain itu katanya, operasi pencarian menggunakan aset tiga agensi keselamatan juga turut disambung semula di tiga kawasan sekitar lokasi kejadian.

"Setakat ini, mengikut kepada pecahan kawasan pencarian, APMM menjalankan operasi menggunakan kapal KM Bistari di sektor B-1.

"Manakala, operasi di sektor B-2 pula dijalankan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan Kapal KD Sri Johor dan Pasukan Polis Marin (PPM) di sektor B-3," katanya.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang penemuan dan operasi masih diteruskan membabitkan kawasan berkeluasan 339 batu nautika persegi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai petunjuk juga diminta supaya disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di 088-387774.

Dalam kejadian Ahad lalu, bot tunda, Megah Jaya 2 yang membawa tiga mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai karam.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 12:36 PM