Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: "Saya terapung di laut dalam keadaan ombak setinggi lima meter selama tujuh jam," kata Asman Mohamad, 31, anak kapal bot tunda yang karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar, Rabu lalu.

Asman yang juga anak kepada juragan bot tunda itu, Mohamad Mal, 49, berkata ketika kejadian bot terbabit dalam perjalanan dari Sungai Kinabatangan ke Sandakan.

Katanya, ketika tiba di kuala kira-kira jam 4 pagi, ombak terlalu kuat lalu dan juragan mengambil keputusan berpatah balik ke Sungai Kinabatangan.

"Namun, tiba-tiba bot tunda kami dipukul ombak besar dan senget menyebabkan saya yang berada di luar luar ketika itu tercampak ke dalam laut," katanya ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum terhumban ke laut dia sempat memegang pelampung keselamatan.

"Ketika terapung saya sempat melihat bot tunda kami tenggelam dan tiga anak kapal masih di atasnya.

"Saya berteriak sekuat hati memanggil mereka dan meminta pertolongan. Namun tiada jawapan dan dalam kegelapan saya berenang mencari daratan walaupun dilambung ombak besar," katanya.

Katanya, apabila cuaca semakin terang dia berjaya melihat tongkang mereka terdampar dan mendapati seorang anak kapal yang juga bapa saudaranya, Roslie Antala, 48, selamat.

ASMAN Mohamad (tengah) dan Roslie (kiri) tiba di Jeti MARITIM MALAYSIA Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
ASMAN Mohamad (tengah) dan Roslie (kiri) tiba di Jeti MARITIM MALAYSIA Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

Sementara itu, Roslie berkata, dia berada di tongkang yang sarat berisi minyak sawit mentah.

"Ketika itu saya hanya dapat melihat cahaya lampu bot tunda di hadapan saya. Namun, cahaya lampu itu tiba-tiba padam dan keadaan terus jadi gelap-gelita.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku ke atas keluarga saya di bot tunda berkenaan.

"Saya kemudiannya memaklumkan kejadian kepada majikan menggunakan telefon bimbit," katanya.

Kelmarin, bot tunda dan tongkang dinaiki lima lelaki yang dalam perjalanan ke Sandakan karam dipukul ombak.

Dua mangsa terselamat manakala tiga lagi dikenali Mohamad Mal, 49, Azlan Hassan, 23 dan Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22, masih hilang.

Berita berkaitan

Doa seorang ibu

Bot tunda karam, 3 hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 4:47 PM