GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot tunda yang hilang di kawasan 35 batu nautika barat laut, Pulau Mantanani, di sini, semalam.

Bot tunda Megah Jaya 2 itu yang disyaki karam dilaporkan turut membawa tiga kru warga tempatan iaitu Lim Chung Siong, 24, Wilson Paul Jospeh, 31 dan Yee Lih Min, 22.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, laporan kehilangan bot tunda berkenaan dibuat pemilik kapal selepas menyedari kehilangannya pada jam 9.30 pagi.

Katanya, operasi CARILAMAT terus diaktifkan dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pencarian awal.

"Operasi CARILAMAT pagi ini turut membabitkan agensi sahabat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kawasan pencarian bot tunda Megah Jaya 2 ini terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan keseluruhan 176 batu nautika," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini juga diminta supaya disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 1:17 PM