HAMZAH berucap pada majlis pelancaran. FOTO Saifullizan Tamadi
HAMZAH berucap pada majlis pelancaran. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Pola penyalahgunaan dadah didapati beralih daripada dadah jenis organik ke dadah jenis sintetik berdasarkan statistik yang dikeluarkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penggunaan dadah sintetik merangkumi lebih kurang 69.8 peratus daripada jumlah penyalahguna dan penagih dadah.

"Lebih membimbangkan lagi, kumpulan belia berumur antara 19 hingga 39 tahun didapati meliputi 66 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahguna dan penagih dadah berkenaan.

"Selain dari jumlahnya yang membimbangkan, masalah penagihan dadah juga semakin kompleks dan mencabar untuk dirawat pulih terutamanya yang membabitkan kes 'dual diagnosis' iaitu mereka yang sudah disahkan menagih dadah dan pada masa yang sama mempunyai masalah penyakit mental," katanya dalam ucapan pada majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) di Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangaan (AADK) di sini, hari ini.

Hamzah berkata, berdasarkan Kajian Prevalen Penagihan Dadah 2022, setiap seorang penyalahguna dan penagih dadah yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa, terdapat empat orang lagi yang masih bebas.

"Berdasarkan kepada nisbah hasil dapatan berkenaan, pada tahun 2021, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh AADK, seramai 123,139 orang penagih dan penyalahguna dadah dikesan oleh pihak berkuasa, maka anggaran penagih dan penyalahguna dadah yang masih tidak dapat dikesan dan menerima rawatan sewajarnya adalah seramai 492,556 orang.

"Namun begitu, anggaran yang dibuat oleh Kajian Prevalen Penagihan Dadah 2022 ini adalah lebih rendah iaitu satu orang penagih atau penyalah guna dadah yang dikesan masih terdapat lapan orang lagi yang masih belum dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 2:32 PM