ABDUL Ghani Abdul Rahman
ABDUL Ghani Abdul Rahman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang memfokuskan tiga kawasan ‘panas’ di negeri ini yang dikenal pasti sebagai lokasi penagihan dadah terbesar.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, tiga port berkenaan adalah kawasan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), perkampungan nelayan dan perkampungan FELDA yang menyumbang kepada peratusan terbesar tangkapan penagih dadah di negeri itu.

Katanya, hasil risikan dan siasatan dilakukan pihaknya sebelum ini mendapati kawasan PPRT di Kampung Pak Mahat, kawasan FELDA di Bandar Tun Razak, Rompin dan FELDA Chini di Pekan sering menjadi lokasi tumpuan aktiviti penagihan dadah walaupun operasi sering dijalankan di kawasan sama.

“Selain itu, perkampungan nelayan iaitu di Kuala Pahang, Pekan turut menjadi port penagihan dadah yang sudah kita putuskan untuk memberi penekanan dari sudut pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan di tiga kawasan terbabit,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Abdul Ghani berkata, pihaknya akan menggunakan beberapa pendekatan lain dalam membanteras kegiatan penagihan dadah seperti menempatkan kehadiran AADK di kawasan tertentu selain mewujudkan ikon di lokasi berkenaan untuk memberi penerangan mengenai permasalahan dadah.

“Kalau AADK hendak letak semua anggota di port penagihan dadah memang kakitangan tidak mencukupi, tapi kami harap orang ramai menjadi mata dan telinga AADK bagi memastikan kawasan mereka bebas gejala pengedaran dan penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan menggunakan media dan laman sosial untuk mendidik dan mencegah generasi muda daripada terjebak gejala penagihan dadah turut dilakukan terutama menggunakan Facebook (FB).

Katanya, statistik pada 1 Januari hingga 31 Ogos 2017 menunjukkan 5,382 penagih yang ada di negeri ini dengan 1,743 datangnya dari kawasan FELDA.

“Angka ini amat membimbangkan kerana 30 peratus penagih di negeri ini dari kawasan FELDA. Kami memandang serius perkara ini dan sudah menggerakkan beberapa strategi bagi memastikan angka ini dapat diturunkan,” katanya.

Katanya, selain itu 218 penagih yang datang dari perkampungan nelayan turut menyumbang kepada statistik tahun ini yang mana kebanyakan penagih pada masa ini banyak terbabit gejala penagihan dadah jenis sintetik.

“Jika dulu dadah tradisional seperti candu, ganja, heroin dan morfin menjadi pilihan penagih namun trend itu mula berubah apabila dadah sintetik seperti syabu dan pil eramin 5 menguasai pasaran,” katanya.

Menurutnya, peranan ibu bapa dan masyarakat perlu dipertingkatkan dalam usaha membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti itu kerana dadah bukan saja memusnahkan institusi kekeluargaan, malah negara jika tidak dibendung dari awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:24 AM