Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sudah menyediakan Rang Undang-Undang (RUU) Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan), bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebelum membentangkan akta itu di Parlimen, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada badan bukan kerajaan (NGO) mengenai RUU itu.

"Ini untuk memastikan akta baharu akan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan tersusun bagi membolehkan lebih ramai penagih, penyalahguna dadah dan substan dapat menerima rawatan atau pemulihan sewajarnya.

"Akta baharu itu berupaya meningkatkan capaian kepada rawatan dan pemulihan dadah, selain membantu kadar pemulihan dalam kes penyalahgunaan dadah," katanya dalam ucapannya sempena Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Kebangsaan Tahun 2021 yang bertemakan 'Solidariti Kepulihan' hari ini.

Hamzah berkata, sehingga 31 Ogos lalu seramai 47,863 orang menerima rawatan dan pemulihan di AADK.

"Ini membuktikan perkhidmatan pemulihan kepada individu yang terkesan tidak terjejas ketika pandemik Covid-19, malah penggunaan teknologi dipertingkat bagi memastikan semua klien mendapat akses rawatan.

"Saya berharap segala usaha kesukarelawanan dalam membantu pemulihan klien terus dipelbagaikan dengan usaha yang lebih kreatif dan berkesan.

"Lebih penting lagi, pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat harus dilakukan secara konsisten bagi menyedarkan mereka penagihan dadah pesakit yang perlu dirawat," katanya.

Beliau berkata, bagi membuktikan kepulihan tidak mustahil dan boleh dicapai, AADK memperkenal inisiatif baharu dalam mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di AADK.

"Sudah banyak kejayaan yang dicapai oleh program yang diadakan oleh AADK. Tahun ini, seramai 30 mentor yang sudah mencapai standard kepulihan tersendiri dilantik untuk menjadi contoh kepada masyarakat.

"Pendekatan ini secara tidak langsung bakal memberikan kesedaran dan motivasi kepada individu yang terbabit dengan masalah dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti yang disediakan oleh kerajaan, khususnya AADK," katanya.

Katanya, kementerian itu memohon pembiayaan RM10 juta menerusi Belanjawan 2022, bagi usaha mengekalkan kepulihan bekas penagih dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 12:09 PM