Mohamed Farid Noh

Johor Bharu: Bekas Setiausaha MCA Pusat dan Ketua Bahagian MCA Pontian Datuk Tee Siew Kiong digantung keahliannya selama lima tahun dalam parti itu bermula Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Siew Kiong, 58, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang selama tiga penggal itu mempertikaikan keputusan yang disifatkan tidak adil dan seperti mahu menamatkan karier politiknya.

Beliau yang juga bekas Penasihat Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, menurut sumber parti, Jawatankuasa Tatatertib MCA difahamkan membuat keputusan menggantungnya selama setahun setengah namun tiba-tiba keputusan yang diumumkan diubah.

"Saya menerima notis penggantungan keahlian selama lima tahun daripada MCA bermula 13 Mei lalu (Jumaat) menerusi pesanan WhatsApp yang diterima pada Sabtu.

"Di dalam notis juga dimaklumkan saya boleh merayu keputusan itu dalam tempoh 14 hari, namun saya perlu dapatkan pandangan terlebih dahulu daripada pelbagai pihak termasuk penyokong," katanya ketika sidang media di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay di sini, hari ini.

Khabar angin penggantungan keahlian Siew Kiong daripada MCA sudah tersebar sejak minggu lalu lagi.

Namun, pemerhati politik tempatan dilaporkan berkata, penggantungan Siew Kiong dibimbangi bakal mendapat implikasi besar berikutan pemimpin itu mempunyai akar umbi yang dan penyokong yang kuat di Johor selain mempunyai hubungan baik dengan Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor.

Bekas Exco Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor itu turut memaklumkan tindakan kepimpinan tertinggi MCA yang mengubah penggantungan keahliannya daripada setahun setengah kepada lima tahun, sebagai tidak menghormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib MCA.

"Menurut sumber dalaman parti, Jawatankuasa Tatatertib MCA pada asalnya mencadangkan untuk menggantungkan keahlian parti selama setahun setengah sahaja, namun saya tidak tahu kenapa tempoh penggantungan berubah kepada lima tahun.

"Tindakan penggantungan selama lima tahun ini dibuat seolah-olah ada campur tangan dan tidak menghormati setiap Ahli Jawatankuasa Tatatertib MCA yang mempunyai hak atas keputusan itu," katanya.

Ditanya mengenai masa depan politiknya sama ada akan menyertai parti blok pembangkang berikutan khabar angin sudah didekati pemimpin pembangkang, Siew Kiong menjelaskan perkara terbabit masih belum difikirkan.

"Saya selalu bertemu dengan pemimpin daripada pelbagai parti termasuk pembangkang. Pemimpin kerajaan dan pembangkang Johor ada hubungan yang baik, bertujuan untuk tingkatan mutu perkhidmatan kepada rakyat, inilah cara Bangsa Johor.

"Namun untuk menyertai blok pembangkang, perkara itu masih belum difikirkan. Saya masih mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu dan keputusan selanjutnya mengenai karier politik saya akan diumumkan nanti ," katanya.

Sementara itu, menerusi notis penggantungan yang ditunjukkan kepada media menerusi sidang akhbar itu, penggantungan dibuat disebabkan Siew Kiong mengkritik pimpinan parti dan didakwa mengeluarkan kenyataan palsu di dalam Facebook Live pada 25 Febuari dan 21 April lalu.

Pada 25 Februari lalu, Siew Kiong dilaporkan menyifatkan pemilihan calon parti itu di kawasan DUN Pulai Sebatang yang ingin ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu diputuskan pimpinan tertinggi MCA dengan tidak bersandarkan kelayakan sebaliknya mengikut kepentingan pemimpin tertinggi parti itu.

Seterusnya, pada 21 April lalu, Siew Kiong menyatakan dirinya bersedia untuk menerima apa jua tindakan yang akan dikenakan susulan menerima arahan untuk menghadiri siasatan tatatertib parti 22 April.

Tee Siew Kiong ketika sidang media mengenai Notis penggantungan keahlian Parti MCA selama 5 tahun yang diterimanya melalui aplikasi whatsapp pada sidang media di Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tee Siew Kiong ketika sidang media mengenai Notis penggantungan keahlian Parti MCA selama 5 tahun yang diterimanya melalui aplikasi whatsapp pada sidang media di Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 5:34 PM