Omar Ahmad

Johor Bahru : Ketua Bahagian MCA Pontian Tee Siew Kiong berdepan tindakan tatatertib parti itu selepas menerima surat Jawatankuasa Tatatertib MCA bagi menghadiri perbicaraan pada jam 12 tengah hari esok secara dalam talian.

Tee percaya tindakan itu dibuat atas dakwaan bekas pengerusi jawatankuasa negeri itu bahawa beliau tidak mematuhi arahan pimpinan parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Menurutnya, dia sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk sekiranya dilucutkan keahliannya dalam parti itu.

"Realitinya, saya berasa amat sedih dan terkejut selepas menerima surat daripada Jawatankuasa Tatatertib MCA yang meminta saya menghadiri perbicaraan.

"Saya berasa hairan dan bingung kerana perbicaraan ini berpunca daripada sidang media saya pada 25 Februari lalu. Apa yang saya lakukan hanya memohon maaf kepada penyokong dan pengundi secara peribadi serta memberi penjelasan kepada mereka bahawa saya tidak dinamakan sebagai calon pada PRN Johor itu. Oleh itu, saya tetap yakin saya tidak bersalah.

"Walaupun saya tidak dapat bertanding dalam PRN Johor, saya tidak pernah berputus asa, malah saya memberi sokongan sepenuh hati dan membantu calon Barisan Nasional (BN) di Pontian sepanjang tempoh berkempen," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Tee Siew Kiong ketika sidang media di Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tee Siew Kiong ketika sidang media di Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Menurutnya, pencapaian MCA dalam PRN Johor hanyalah satu permulaan.

Katanya, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong haruslah mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan bukan membazirkan masa serta tenaga untuk menyasar dan menekan rakan seperjuangan parti.

"Presiden haruslah meningkatkan semangat ahli dan pemimpin akar umbi kerana pelantikan calon-calon PRN Johor yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti sudah mengecewakan mereka.

"Saya bukan lagi wakil rakyat dan tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti. Betulkah Presiden berhasrat untuk membuang saya dari parti? Betulkan Presiden ingin melucutkan keahlian biasa saya yang kini merupakan satu-satunya hubungan saya dengan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 4:13 PM