Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Penggantungan keahlian bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah disebabkan terdapat 16 pertuduhan terhadap beliau yang mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan menggantung keahlian Noh bukan disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022).

"Keputusan untuk menggantung bukan berdasarkan beliau tidak bersetuju dengan usul yang dibawa dalam PAU lalu tetapi ada 16 pertuduhan beliau mensabotaj parti dalam PRU-15.

"Yang mana kita tahu ada calon, Datuk Habibah dikemukakan parti dalam PRU lalu mewakili BN Tanjung Karang.

"Jadi tuduhan itu terbukti, disemak, dikaji dan disiasat Lembaga Displin. Perlu diingat calon Bebas yang bertanding di Tanjung Karang adalah pegawai khas Noh sendiri.

"Jadi tak benar jika keputusan menggantung beliau dibuat Lembaga Displin berdasarkan beliau tidak bangun menyokong usul yang dibuat," katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

NOH Omar mengadakan sidang media selepas keahlian beliau digantung enam tahun. FOTO Aizuddin Saad
NOH Omar mengadakan sidang media selepas keahlian beliau digantung enam tahun. FOTO Aizuddin Saad

Megat Zulkurnain berkata, Noh masih boleh merayu memandangkan semua individu berpeluang untuk berbuat demikian.

"Noh ada buat kenyataan menyatakan bahawa beliau minta untuk dipecat walaupun pada peringkat awal digantung selama enam tahun. Saya fikir mesyuarat bersetuju dengan permintaan dia.

"Itu apa yang dia nak. Dia meminta dipecat dan akhirmya semua bersetuju dan dia masih ada peluang untuk membuat rayuan kalau dia nak," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Noh digantung keahlian selama enam tahun menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.

Noh berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi ucapan mukadimah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat itu.

Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

Kenyataan itu secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan dalam Mesyuarat MKT UMNO, malam ini.

Pada PAU 2022, usul tambahan diluluskan supaya tidak ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 11:58 PM