GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Kes jenayah membabitkan pecah rumah ketika Op Selamat 18 pada musim perayaan Aidilfitri di seluruh negara pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 56 peratus berbanding 2019.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata, penurunan itu disebabkan kesedaran masyarakat sendiri berhubung keselamatan kediaman masing-masing.

"Untuk Keseluruhan bagi tempoh Op Selamat 18, jumlah kes pecah rumah bagi 2022 berbanding 2019 berkurang sebanyak 440 kes. Pada 2019 merekodkan sebanyak 790 kes.

"Masyarakat bukan sahaja memberikan maklumat kepada pihak polis mengenai ketiadaan mereka di rumah, malah mengambil langkah dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan dan sistem penggera selain taman perumahan yang dilengkapi pagar serta pengawal keselamatan," katanya.

Terdahulu Aidi merasmikan Penutup Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara 2022 di Kompleks Sukan Negeri Paroi, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid dan pemangku Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Zairul Naim Lomak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 7:03 PM