KUMARAN (dua dari kanan) pada Program Kesedaran Jenayah dan Bandar Selamat Sempena Tahun Baru Cina 2017 di  Sungai Buloh, semalam.
KUMARAN (dua dari kanan) pada Program Kesedaran Jenayah dan Bandar Selamat Sempena Tahun Baru Cina 2017 di Sungai Buloh, semalam.

Sungai Buloh: Fakta mengejutkan apabila sebanyak 8,886 motosikal dilaporkan ‘ghaib’ dicuri sepanjang tahun lalu di seluruh negeri Selangor.

Jumlah itu walaupun menurun berbanding kehilangan 9,397 motosikal pada tahun 2015 namun masih diberi perhatian utama oleh pihak polis.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor Senior Asisten Komisioner Kumaran Karuppanan berkata, walaupun kadar jenayah direkodkan di seluruh negeri itu menurun, namun jumlah kes bagi jenayah curi motosikal dan pecah rumah masih tinggi.

“Daripada jumlah itu, 9,397 kes curi motosikal dicatatkan pada tahun 2015 manakala 8,886 kes pada tahun 2016,” katanya.

Manakala bagi kegiatan pecah rumah pula, sebanyak 5,808 kes direkodkan pada tahun 2015 dan 5,507 kes dicatatkan pada tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Kesedaran Jenayah dan Bandar Selamat Sempena Tahun Baru Cina 2017 di Bandar Seri Coalfields di sini semalam.

Kumaran berkata, kebanyakan kes curi motosikal dan pecah rumah yang dilaporkan berpunca kecuaian mangsa sendiri yang memandang rendah terhadap kawalan keselamatan di sekeliling mereka.

“Ada di antara masyarakat terlalu mengambil mudah berhubung tahap keselamatan harta benda mereka termasuk membiarkan enjin motosikal hidup dan tidak membuat pemeriksaan rapi terhadap rumah yang ditinggalkan.

“Dalam kejadian jenayah, tidak banyak masa yang diperlukan, cukup sekadar beberapa minit untuk melarikan motosikal dan memecah masuk sesebuah kediaman,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu lebih peka terhadap keadaan sekeliling mereka dan menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelak menjadi mangsa kegiatan jenayah.

“Sekiranya langkah awal diambil, kegiatan jenayah seperti curi motosikal dan pecah rumah dapat dielakkan dengan mengamalkan kawalan keselamatan terhadap diri sendiri dan harta benda.

“Pada masa yang sama, masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat dan mengawasi persekitaran mereka bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan kediaman masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 9:30 AM