Mohamad pada sidang media Op Selamat  sempena perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohamad pada sidang media Op Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahmad Hasbi


Seremban: Kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan jumlah saman paling tinggi iaitu 6,032 saman

sepanjang tempoh 10 hari Operasi Op Selamat 17 dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 10,559 saman membabitkan nilai RM2.6 juta dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan sejak operasi bermula 28 Januari lalu.

"Selain kesalahan memandu melebihi had laju, kesalahan utama lain adalah tidak patuh lampu isyarat (284 saman), menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu (118 saman), memotong barisan (133 saman), memotong di garisan berkembar (50 saman) dan memandu di lorong kecemasan (1 saman)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, tadi.

Beliau berkata, jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat 17 menunjukkan penurunan sebanyak 251 kes berbanding 815 kes pada Ops Selamat 16 2020 manakala kemalangan maut juga menurun daripada sembilan kes kepada satu kes.

"Mengekori rapat kenderaan di hadapan menjadi faktor tertinggi punca kemalangan iaitu sebanyak 151 kes diikuti tidak perasaan kenderaan lain (95), cuai keluar dan masuk simpang (77), terbabas sendiri (60) serta kesalahan lain," katanya.

Mohamad berkata, sebanyak 156 tangkapan dilakukan sepanjang Ops Selamat 17 menerusi 151 operasi membabitkan pelbagai kesalahan termasuk mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, Op Selamat 17 juga membabitkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang membuat rondaan di kawasan perumahan yang ditinggalkan sempena cuti Tahun Baru Cina.

"Bagi jenayah pecah rumah, sebanyak lima kes direkodkan sepanjang Op Selamat 17 berbanding 17 kes pada Op Selamat 16," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 3:01 PM