MOHAMAD Ambri menyediakan makanan anak kambing diternak.
MOHAMAD Ambri menyediakan makanan anak kambing diternak.
KAMBING yang dilepaskan keluar kandang diberi makan tahi minyak sebagai makanan tambahan.
KAMBING yang dilepaskan keluar kandang diberi makan tahi minyak sebagai makanan tambahan.
KANDANG kambing milik Mohamad Ambri.
KANDANG kambing milik Mohamad Ambri.
MOHAMAD Ambri bersama Norwanidah memeriksa anak kambing.
MOHAMAD Ambri bersama Norwanidah memeriksa anak kambing.
Abnor Hamizam Abd Manap


Berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya pada tahun 2008, Mohamad Ambri Shaharuddin layak melanjutkan pelajaran ke politeknik seperti diminta ibu bapanya.

Bagaimanapun, bekas pelajar sebuah sekolah menengah teknik ini lebih meminati bidang penternakan berbanding teknikal kerana sejak kecil membantu ayahnya, Shaharuddin Alias, 61, menjaga kambing peliharaannya secara kecil-kecilan.

Beberapa hari selepas keputusan SPM diumumkan, dia terbaca iklan di Harian Metro mengenai pengambilan pelajar baru Institut Veterinar Malaysia (IVM) di Kluang, Johor, dan terus memohonnya.

Rezeki berpihak kepadanya apabila diterima masuk ke institut itu biarpun terpaksa ‘menghampakan’ impian ibu bapanya yang mahu dia melanjutkan pelajaran di politeknik.

Selepas dua tahun belajar, anak jati FELDA Palong 15, Negeri Sembilan, itu menamatkan pengajian dengan memperoleh Sijil Kemahiran Veterinar Tahap 3 pada 2011.

Kini, Mohamad Ambri, 25, gigih menternak pelbagai jenis kambing di tanah rizab Ladang FELDA Global Ventures (FGV) FELDA Palong 21 kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

“Sebaik tamat belajar, dengan berbekalkan wang simpanan dan menjual motosikal untuk dijadikan modal tambahan, saya tekad bekerja sendiri dengan menternak kambing,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Katanya, FGV memberi kebenaran kepadanya membina kandang di tanah seluas 0.8 hektar, sekali gus menjadi titik permulaannya bergelar penternak komersial.

Katanya, kandang berukuran 24 x 60 kaki yang menelan belanja RM30,000 dibina pada 2012 secara berperingkat sebelum diperbesarkan dengan kos keseluruhan mencecah RM100,000.

“Bermula dengan 90 kambing, kini jumlahnya meningkat kepada 600 ekor. Ia terdiri daripada biri-biri, Boer dan Jamnapari yang sentiasa mendapat permintaan daripada orang ramai.

“Rutin kerja di kandang bermula seawal jam 8 pagi dan berlarutan sehingga malam bagi memastikan semua kambing diberi perhatian terutama jika ada yang sakit,” katanya.

Mohamad Ambri yang baru mendirikan rumah tangga Ogos lalu berbangga kerana isterinya Norwanidah Jamaludin, 25, yang juga lulusan Kolej Pertanian Malaysia di Bukit Tangga, Kedah, sanggup bersamanya bekerja di kandang.

Katanya, biarpun tampak rumit terutama menjaga anak kambing yang baru dilahirkan, ia menyeronokkan kerana dapat melihat haiwan itu membesar di depan mata.

Begitupun, dia hampir berputus asa berikutan beberapa insiden seperti kambing dicuri orang atau dimakan anjing. Namun disebabkan minat mendalam, masalah berkenaan dianggap sebagai ujian.

“Siapa tidak sedih apabila lebih 20 kambing mati dimakan anjing. Ini tidak termasuk dicuri orang, namun saya menganggap ia asam garam kehidupan.

“Nasib baik ibu (Azmah Zariah Mdsol, 51,) yang turut membantu di kandang memberi sokongan selain isteri yang tidak jemu memberi semangat,” katanya yang berhasrat meluaskan kandang jika mendapat pinjaman bank.

Ini berikutan kandang sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah kambing yang semakin meningkat sekali gus memerlukan lebih luas.

Hanya menerima pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM8,000, Mohamad Ambri mengakui jiwanya lebih sesuai dalam bidang ternakan.

“Selain kambing, saya turut menjaga 150 lembu dan 25 kerbau yang diusahakan ayah berhampiran kandang kambing saya.

“Setiap bulan, saya perlu menyediakan dua tan dedak sebagai makanan utama kepada kambing, manakala makanan sampingan seperti tahi minyak dibeli dari kilang sawit berhampiran sebanyak satu tan setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 10:40 AM