HAIWAN ternakan juga jinak dengan Norhanisah.
HAIWAN ternakan juga jinak dengan Norhanisah.
Hassan Omar


SEKALI pandang, dia sama dengan gadis lain seusianya, namun bagi yang mengenali Norhanisah Norsham, 20, ada keunikan dalam diri empunya nama ini.

Tanpa 24 jam bertemakan gajet dan media sosial, gadis manis ini punyai cita-cita tersendiri dalam meneruskan legasi keluarganya.

Sejak enam tahun lalu, dia banyak menghabiskan masanya di kandang lembu, kerbau dan kambing milik bapanya Norsham Mat Jan, 50, yang terletak berhampiran kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah, Melaka.

Saban hari anak kedua daripada lima beradik itu mengikuti bapanya dan beberapa pekerja memberi makan kira-kira 700 lembu, 300 kerbau, 150 kambing dan 30 biri-biri di kandang itu.

SABAN hari gadis ini banyak menghabiskan masanya
SABAN hari gadis ini banyak menghabiskan masanya

Bermula sekadar suka-suka, akhirnya segala ilmu yang diperturunkan bapanya itu Norhanisah pasakkan untuk bergelar usahawan ternakan hebat satu masa nanti.

Mengimbau kembali zaman persekolahan rendah dan menengah, tamat saja sesi persekolahan dia tanpa melengahkan masa akan berada di kandang ternakan ayahnya itu kerana perasaan sayang terhadap haiwan berkenaan sudah mula berputik.

"Saya sudah lali dengan bau najis lembu, kerbau dan kambing, apatah lagi dengan bau hamis badan haiwan itu yang semestinya kita tidak boleh lari jika sudah berada di kandang.

"Banyak yang saya pelajari daripada ayah, terutama jenis makanan tambahan untuk lembu, kerbau dan kambing. selain rumput napier serta daun kelapa sawit.

"Ketika kecil saya amat seronok membonceng motosikal ayah waktu menggembala lembu, kerbau dan kambing dalam ladang kelapa sawit berhampiran kandang. Dari situlah saya belajar kaedah mengenali haiwan yang sakit, bunting, hampir beranak dan seumpamanya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017, gadis hitam manis itu pernah cuba bekerja makan gaji di beberapa kedai di pekan Masjid Tanah namun ternyata ia tidak sesuai dengan jiwanya.

Hanya setengah tahun bekerja makan gaji sebelum dia mengambil keputusan membela kambing sepenuh masa.

MEMBANTU ketika proses penyembelihan dan melapah antara yang sering dilakukan Norhanisah.
MEMBANTU ketika proses penyembelihan dan melapah antara yang sering dilakukan Norhanisah.

Berbekalkan sedikit modal, Norhanisah membeli dua ekor kambing boer bapanya untuk diasingkan sebagai miliknya sendiri dan ditempatkan dalam kandang khusus.

"Sedikit demi sedikit saya beli lagi beberapa kambing boer, jumnapari dan farrel milik ayah untuk dijadikan haiwan peliharaan saya dan sekarang saya sudah ada 15 kambing," katanya.

Keringatnya membasahi tubuh ketika menolak kereta sorong berisi makanan tambahan untuk kambing. Pada masa sama dia tidak pernah alpa untuk turut memberikan rumput napier dan daun kelapa sawit sebagai makanan asasi kambingnya.

"Di kandang ini ada ayah, abang dan beberapa bapa saudara serta sepupu yang turut bertanggungjawab memastikan ternakan sentiasa sihat serta membesar dengan baik. Jika ada masalah, sudah pastilah saya meminta bantuan mereka," katanya.

Bagaimanapun, jika ada pelanggan membeli kambing untuk disembelih dan diproses, Norhanisah terpaksa mendapatkan bantuan bapa atau bapa saudaranya untuk menyembelih haiwan itu sebelum dilapah mengikut kehendak pelanggan.

Darah yang menyembur dari leher haiwan ketika disembelih sedikit pun tidak menggentarkan gadis itu untuk membantu memegang haiwan berkenaan, selain membantu melapah dagingnya.

Bermula jam 8 pagi hingga lewat petang, Norhanisah sentiasa berada di kandang bagi memastikan haiwan kesayangannya itu membesar dengan sempurna, bertambah pejal dagingnya dan bebas daripada penyakit.

SEBAHAGIAN daripada kambing yang diternak.
SEBAHAGIAN daripada kambing yang diternak.

"Saya belajar cara merawat kambing yang cedera dengan menyembur ubat dan mengasingkannya dalam kandang khas bagi mengelakkan penyakit berjangkit kepada kambing lain.

"Insya-Allah suatu hari nanti saya akan menjadi antara pembekal pelbagai jenis kambing pedaging utama di negeri ini," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 7:00 AM