Sebuah jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) disambar api ketika melakukan kerja-kerja pemadaman di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JBPM
Sebuah jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) disambar api ketika melakukan kerja-kerja pemadaman di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Dua anggota bomba melecur di jari tangan ketika operasi memadamkan kebakaran di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua anggota berusia lingkungan 30 dan 40-an itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB), dekat sini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohamad Tarmizi Abdul Salam, berkata dua anggota itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian jari tangan kanan dan kiri.

"Ketika operasi api sangat marak dan menyebabkan ia menyambar hingga terkena jari tangan dua anggota bomba berkenaan.

"Mujur kecederaan (melecur) yang dialami tidak serius memandangkan kedua-duanya memakai sarung tangan khas dan mereka berdua stabil selepas menerima rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, ketika operasi sebuah jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) juga mengalami kebakaran di bahagian pintu tempat pemandu.

"Kebakaran itu berlaku ekoran tempias dari kebakaran gudang berkenaan. Bagaimanapun, jentera tidak mengalami sebarang kerosakan dan masih boleh bergerak seperti biasa," katanya.

Mohamad Tarmizi berkata, operasi pemadaman kebakaran itu tamat sepenuhnya pada 3.40 petang tadi.

Terdahulu, gudang penyimpanan bahan kimia itu dilaporkan terbakar pada 5.45 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 5:47 PM