ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Merampung, Keningau. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Merampung, Keningau. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

SEORANG lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah didiami bersama keluarganya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Merampung, Keningau, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa Razi Juanis, 30-an, yang menerima rawatan di Hospital Keningau bagaimanapun dalam keadaan stabil.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.26 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, tiga jentera dengan kekuatan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi kebombaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati sebuah rumah setingkat musnah dalam kebakaran, dengan seorang penghuni lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan ketika menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengawal kebakaran menggunakan dua aliran dengan sumber air daripada pili bomba berhampiran.

“Operasi terkawal 6.58 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan anggota bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 12:51 PM