Kebakaran sebuah kilang membuat tilam di Jalan Jelebu, di sini, petang semalam. Foto ihsan bomba
Kebakaran sebuah kilang membuat tilam di Jalan Jelebu, di sini, petang semalam. Foto ihsan bomba
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang anggota bomba dan penyelamat cedera selepas tong berisi bahan kimia, meletup dalam kebakaran kilang membuat tilam di Jalan Jelebu dekat Sikamat, malam tadi.

Kebakaran itu bermula kira-kira jam 6.45 petang semalam, membabitkan kilang berkeluasan 54,864 meter persegi yang terbakar sehingga 90 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Zamhuri Zainnordin, berkata letupan itu berlaku jam 7.54 malam dan menyebabkan anggota berkenaan melecur dua peratus.

"Berlaku letupan tong bahan kimia berbahaya dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota pemadam iaitu Mohd Yazid Rahmat, 35, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang.

"Mangsa cedera melecur di bahagian sisi muka kanan dan tangan kiri sebelum dihantar pasukan EMRS ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapat rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai kebakaran, beliau berkata, operasi memadam kebakaran dimulakan jam 6.54 petang oleh jentera BBP Seremban dan BBP Ampangan.

"Jentera bantuan BBP Senawang tiba di lokasi jam 7.10 malam dan membuat pemadaman di bahagian belakang kilang. Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kawasan kediaman berdekatan satu jam kemudian iaitu pada jam 7.54 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 1:00 PM