Muhammad Apendy Issahak


LELAKI yang melecur bersama ibunya dalam kebakaran rumah di Menglembu, Ipoh, Khamis lalu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.

Mangsa, Cheah Cheong Seng, 42, meninggal dunia, 3.36 pagi tadi selepas dua hari bertarung nyawa susulan melecur lebih 75 peratus anggota badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, polis dimaklumkan pada 4.10 pagi.

“Lelaki terbabit adalah mangsa rumah terbakar di Regrouping Area, Menglembu yang cedera bersama ibunya ketika menyelamatkan diri.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB Ipoh 10 pagi tadi mendapati sebab-sebab kematian adalah ‘severe burn’ (melecur) dan mayat sudah dituntut ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Difahamkan ibu mangsa yang turut cedera dalam kejadian itu masih dirawat di hospital sama dan berada dalam keadaan stabil.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan, ibu dan anak cedera melecur ketika menyelamatkan diri.

Mangsa, wanita warga emas berusia 70-an melecur di tangan dan kepala, manakala anak lelakinya berusia 40-an melecur 75 peratus pada bahagian badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran rumah itu, pada 12.04 tengah malam.

Berita berkaitan:

  • Dua beranak melecur
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 7:30 PM