MANGSA banjir kilat di Kampung Sri Rahmat, Bukit Batu diselamatkan pasukan keselamatan. FOTO Ihsan Pembaca
MANGSA banjir kilat di Kampung Sri Rahmat, Bukit Batu diselamatkan pasukan keselamatan. FOTO Ihsan Pembaca
Mary Victoria Dass


Kulai: Kira-kira 50 penduduk Kampung Sri Rahmat di sini tidak menjangka ditimpa musibah pada hari kedua Aidilfitri apabila kediaman masing-masing diancam banjir kilat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern berkata, sebanyak 25 rumah di kawasan perkampungan berkenaan terjejas dalam kejadian terbabit.

Beliau berkata, hujan lebat sejak awal pagi hari ini dan limpahan air Sungai Ulu Pontian Besar mengakibatkan rumah mangsa diancam banjir mulai waktu pagi.

"Ia termasuk di Jalan Meranti, Jalan Salahuddin dan laluan utama Kampung Sri Rahmat.

"Kesemua mangsa tidak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebaliknya mahu tinggal di rumah saudara dan di inap desa.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulai dimaklumkan untuk tujuan kesiapsiagaan sekiranya ada keperluan untuk membuka PPS," katanya.

Arthur Chiong berkata, kesemua mangsa banjir dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kesemua mangsa yang terbabit dinasihatkan untuk membuat laporan polis untuk taksiran jumlah kerugian.

"Esok pagi saya akan turun padang lagi bagi meninjau keadaan semasa," katanya.

Sementara itu, Adun Senai Wong Bor Yang berkata, laluan masuk ke beberapa kebun di Kampung Baru Sengkang, Senai juga diancam banjir kilat.

Menurutnya, walaupun hujan berhenti pada 6 pagi hari ini, air masih tidak mengalir ke Sungai Skudai.

"Berdasarkan maklumat laman web publicinfobanjir.gov, paras air di Sungai Skudai di stesen Kampung Separa pada 7 pagi dicatatkan pada tahap merah atau bahaya.

"Hujan yang turun semalam juga adalah luar biasa, iaitu mencapai bacaan 31 hingga 60 milimeter (mm).

"Punca banjir di kebun di kawasan berkenaan adalah hujan lebat selain sistem perparitan dan saliran serta ia perlu dinaik taraf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 10:09 PM