KEADAAN banjir di beberapa tempat di Johor Bahru. FOTO Ihsan APM
KEADAAN banjir di beberapa tempat di Johor Bahru. FOTO Ihsan APM
Mohd Sabran Md Sani


SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Blok 18, Kampung Paya Kenangan, Kangkar Tebrau, Johor Bahru, bagi menempatkan tujuh mangsa banjir akibat hujan lebat petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, mangsa yang dipindahkan membabitkan seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan lima kanak-kanak.

"Ia berdasarkan maklumat Operasi Banjir dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau pada 5.24 petang ini.

Sementara itu, hujan lebat selama lebih sejam bermula 3.30 petang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini termasuk empat perkampungan mengalami banjir kilat.

Antara kawasan terjejas termasuklah Kampung Maju Jaya; Kampung Laut Skudai, Jalan Skudai (berhampiran Skudai Parade); Kampung Paya Kenangan dan Kampung Kangkar Tebrau.

Ayub berkata, hujan lebat secara berterusan dengan taburan hujan yang banyak antara punca berlaku banjir kilat di kawasan itu.

"Berikutan itu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diketuai seorang pegawai dan lapan anggota bersama satu jentera dikerahkan ke tempat kejadian bagi memantau keadaan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:17 PM