MANGSA ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai. FOTO Ihsan APM JOHOR
MANGSA ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai. FOTO Ihsan APM JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 275 mangsa daripada 66 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sehingga jam 8 pagi ini, hanya sebuah daerah iaitu Johor Bahru yang terjejas akibat berlakunya banjir kilat.

Katanya, hujan lebat melebihi lapan jam serta pertembungan air laut pasang menjadi punca kejadian banjir kilat.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai, yang dibuka pada 2 petang semalam, kini menempatkan 90 mangsa daripada 23 keluarga.

"Kawasan yang terjejas meliputi Kampung Laut Batu 10, Skudai. Manakala, malam tadi, berikutan jumlah mangsa yang ramai ditempatkan di PPS Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru, Masai, mereka pindahkan ke PPS lain.

"PPS itu adalah Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai, yang dibuka jam 9 malam tadi, menempatkan 185 mangsa daripada 43 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kawasan yang terjejas di Masai itu meliputi Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 8:43 AM