Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) terus menekankan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) melalui media arus perdana walaupun kerajaan mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 yang berkuasa kuasa, hari ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata platform seperti televisyen, radio dan akhbar memainkan peranan untuk mengingatkan masyarakat akan bahaya yang masih ada dalam tempoh transisi endemik Covid-19.

Katanya, perkembangan terbaru menunjukkan kadar kematian serta kes membabitkan jangkitan Covid-19 semakin berkurangan dan ia adalah kejayaan rakyat sendiri yang mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

"Kerajaan yakin rakyat akan terus mengekalkan pematuhan berkenaan walaupun pelbagai kelonggaran diberikan terutama dalam situasi untuk menyambut perayaan Aidilfitri dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

"Keputusan ini adalah strategi keluar daripada fasa pandemik dan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

ANNUAR (dua dari kanan) menziarah Hussein (dua dari kiri), di Kampung Lemal, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
ANNUAR (dua dari kanan) menziarah Hussein (dua dari kiri), di Kampung Lemal, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Sepanjang tempoh ini, K-KOMM mengambil inisiatif untuk mengekalkan peringatan melalui platform media arus perdana supaya masyarakat tidak leka serta berwaspada terutama kepada warga emas, golongan berisiko dan menghidap penyakit kronik," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas menziarah bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad, 88, di Kampung Lemal, di sini, hari ini.

Annuar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lupa untuk terus kekal menjaga jarak, memakai pelitup muka di tempat tertutup selain kerap membasuh tangan bagi mengelak berlaku jangkitan.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, K-KOMM menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam melonggarkan SOP selepas melihat situasi yang semakin terkawal terutama bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

"Kita menghadapi kesukaran untuk membina semula ekonomi susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang, jadi sebarang aktiviti rakyat perlu dikembalikan semula agar segala aspek pembangunan dapat diperbaiki.

"Masyarakat harus menggunakan peluang kelonggaran yang ada sebaiknya dalam menjalankan aktiviti masing-masing tanpa melupakan bahawa virus masih ada agar tidak berulang lagi situasi kritikal seperti sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 4:10 PM