Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan memilih 1,000 sekolah di seluruh negara untuk menerima rangkaian 5G sekali gus memudahkan proses pengurusan dan pembelajaran di sekolah.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya kini menunggu 'lampu hijau' daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melaksanakan perancangan berkenaan.

Katanya, K-KOMM sudah berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Digital Nasional Bhd (DNB) yang bersetuju melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di sekolah termasuk di luar bandar dan pendalaman.

"Setakat ini, kita sudah putuskan untuk memilih enam sekolah sebagai percubaan bagi menguji sama ada rangkaian 5G sesuai atau tidak untuk dilancarkan di institusi berkenaan.

"Kita akan pastikan bukan sahaja dalam kawasan sekolah, malah penempatan di sekitar sekolah juga mendapat manfaat sama menerusi pelaksanaan rangkaian internet terbabit.

"Bagi merealisasikan rancangan ini, syarat pertama ialah perlu ada kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) kerana pihaknya bertanggungjawab membuat penyambungan gentian optik," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan harga barang di Pasar Ketereh, di sini, hari ini.

Annuar berkata, SKMM dan DNB pula bersedia menyediakan peralatan rangkaian 5G, kini hanya tinggal keputusan daripada KPM untuk melakukan pelaksanaan berkenaan.

"Sekolah yang terpilih adalah bergantung kepada cadangan KPM tiada kira di bandar atau luar bandar, manakala pihak kami sudah bersedia untuk memulakan pelan ini pada bila-bila masa sahaja.

"Rangkaian 5G yang diwujudkan di sekolah diharap dapat membantu bukan sahaja pihak pengurusan tetapi proses pembelajaran supaya lebih baik sejajar dengan kemajuan teknologi masa kini.

"Segala perancangan ini hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan KPM kerana sekolah yang ada di seluruh negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian terbabit, manakala K-KOMM membantu daripada segi pembangunan komunikasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 5:41 PM
Annuar ketika sidang media selepas meninjau harga barangan makanan di sekitar Pasar Tani di Pasar Ketereh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Annuar ketika sidang media selepas meninjau harga barangan makanan di sekitar Pasar Tani di Pasar Ketereh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR