Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 30,000 Duta Komuniti akan dilantik yang akan berperanan memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi oleh komuniti sepanjang tempoh transisi ke fasa endemik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat lalu telah bersetuju agar KKMM bekerjasama dengan beberapa kementerian lain bagi mewujudkan program berkenaan.

"Program ini akan dilancarkan di Perlis pada penghujung bulan ini dengan pelantikan kira-kira 30,000 duta yang akan jalankan peranan secara friendly (mesra komuniti). Perincian program ini akan diberikan dari semasa ke semasa," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Berhubung isu pelanggaran SOP semasa penganjuran Program RIUH EK! di Ayer Hitam, Johor Annuar berkata peristiwa itu bukanlah sebahagian daripada agenda program dan ia berlaku selepas beliau beredar setelah majlis tamat.

"Setelah itu berlaku tindakan spontan sekumpulan anak muda berjoget lambak dan jelas melanggar SOP. Tindakan terus diambil pihak RELA pada masa itu untuk mengawal keadaan dan ia telah tular dan tindakan itu diserahkan kepada polis," katanya.

Annuar berkata beliau sendiri juga telah memanggil penganjur untuk memberi peringatan bahawa sebarang SOP harus dikuatkuasakan jika terdapat sebarang unsur pelanggaran peraturan.

Terdahulu Annuar turut memaklumkan penukaran akronim KKMM bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada K-KOMM, manakala menteri berkenan dirujuk sebagai MENKOM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 3:46 PM