TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO Tular Facebook
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO Tular Facebook
Rafiqah Dahali


Kimanis: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan jaket keselamatan untuk murid di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menggunakan bot ke sekolah selepas terputus hubungan akibat jambatan gantung di situ rosak.

Ia alternatif buat murid, termasuk untuk kegunaan guru, kakitangan sekolah dan penduduk sementara menunggu jambatan baharu disiapkan di kampung berkenaan.

Difahamkan, lima jambatan gantung yang menghubungkan empat sekolah di kawasan itu rosak akibat banjir bulan lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif terbabit akan disalurkan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) selepas kerajaan membekalkan beberapa bot untuk murid sekolah, termasuk untuk penduduk kampung menyeberang sungai.

Menurutnya, selain untuk kegunaan murid SK Nangkawangan, tiga lagi sekolah terbabit dengan masalah itu ialah SK Binanon, SK Mamagun dan SK Pohon Batu di Nabawan.

"Empat sekolah terbabit tidak dapat menggunakan jambatan gantung ke sekolah cuma satu sekolah sahaja yang ditularkan iaitu SK Nangkawangan.

"Saya meminta JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau empat sekolah terbabit dan lihat apa yang kita boleh bantu untuk memastikan keselamatan murid dan guru terus dititikberatkan, katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Kimanis, di sini, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas isu video tular murid sekolah di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menaiki rakit dan ada bergayut pada kabel zip line untuk menyeberang sungai.

Mohamad berkata, pihaknya turut memantau sekolah di daerah lain yang berdepan dengan masalah sama supaya tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku kejadian seumpama itu.

Beliau turut dimaklumkan, Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup sudah mendapat kelulusan untuk membina jambatan gantung baharu di kawasan itu dan kini menunggu pelaksanaannya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin - ihsan Jabatan Penerangan Sabah

From: Fiqah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 8:38 PM