DATUK Arthur Kurup
DATUK Arthur Kurup
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerja membaik pulih jalan dan jambatan yang rosak akibat banjir yang melanda di Nabawan baru-baru ini sedang giat dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup berkata kerja membaik pulih termasuk jalan berbatu sepanjang 45 kilometer (KM) menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan hampir siap.

"Jalan ke SK Pengaraan hampir siap dan saya mendapat laporan daripada pejabat daerah semalam di mana jalan terbabit berbaki dua hingga tiga kilometer lagi (untuk disiapkan) sehingga sampai ke sekolah itu.

"Kita jangkakan jalan berbatu ini akan disiapkan sebelum sesi persekolahan buka semula pada minggu hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam satu sesi sidang media selepas Majlis Seminar Pendaftaran Kontraktor dan Penyampaian Anugerah Khas Kontraktor dan Pengilang bertempat di Ming Garden Hotel and Residences, di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan guru terpaksa berjalan kaki selama 18 jam dari sekolah ke jalan utama menuju pekan Keningau selepas laluan ke SK Pangaraan tidak dapat dilalui kenderaan kerana rosak akibat hujan lebat dan tanah runtuh.

Dalam pada itu, Arthur turut memaklumkan kerja membaik pulih lima buah jambatan untuk kampung berhampiran termasuk menuju ke SK Nangkawangan and SK Layon sedang dalam proses pelaksanaan.

"Saya akan ke kampung terbabit pada 12 Jun ini untuk melihat sendiri perkembangan membaik pulih jalan dan jambatan terbabit," katanya.

Berhubung laporan media mengenai murid yang bergadai nyawa menyeberangi sungai dengan menggunakan rakit atau 'zip line' untuk ke sekolah, Arthur menjelaskan beliau maklum mengenainya dan pergi ke kampung terbabit bagi melihat situasi di sana.

"Saya difahamkan oleh pimpinan kampung bahawa 'zip-line' terbabit digunakan untuk menghantar barang sahaja menyeberangi sungai.

"Mungkin ada yang terlepas pandang dan kanak-kanak mengambil kesempatan menggunakan 'zip-line' untuk bermain dan menyeberangi sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 10:17 AM