ARTHUR (dua kiri) menghantar guru kembali ke sekolah di Nabawan dengan menaiki helikopter dari Keningau. FOTO Ihsan pembaca
ARTHUR (dua kiri) menghantar guru kembali ke sekolah di Nabawan dengan menaiki helikopter dari Keningau. FOTO Ihsan pembaca
Izwan Abdullah


Keningau: Perkhidmatan helikopter digunakan untuk menghantar lapan guru kembali ke sekolah di lokasi terpencil di daerah Nabawan berikutan laluan darat terputus akibat banjir baru-baru ini.

Inisiatif itu diambil Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup bagi memudahkan pergerakan guru terbabit kembali ke sekolah berikutan pembukaan semula sekolah mulai esok.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensingan menyewa dua helikopter untuk menerbangkan guru terbabit dari sini, ke beberapa sekolah di Mukim Tatalaan, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan, Nabawan, hari ini.

Katanya, inisiatif itu bagi membolehkan guru terbabit kembali ke sekolah masing-masing tanpa perlu berjalan kaki yang mengambil masa antara tiga hingga enam jam.

"Saya mengambil inisiatif untuk menghantar balik guru yang akan kembali bertugas di SK Pangaraan dan sekitar Mukim Tatalaan, Nabawan dengan menaiki helikopter hari ini.

"Sebanyak dua helikopter disewa untuk menghantar lapan guru terbabit balik ke sekolah masing-masing supaya tidak perlu berjalan kaki dalam tempoh yang panjang jika melalui jalan darat.

"Ini kerana laluan darat banyak yang rosak dan terputus akibat bencana banjir luar biasa yang berlaku di kawasan itu baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, guru di kawasan terbabit mengambil masa tiga hingga enam jam untuk ke sekolah masing-masing bergantung kepada keadaan cuaca.

Katanya, banjir luar biasa yang berlaku baru-baru ini memburukkan lagi keadaan apabila jalan raya ke sekolah di kawasan itu putus dan tidak dapat dilalui kenderaan.

"Peruntukan kecemasan sudah diluluskan oleh Perdana Menteri untuk pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir dan pegawai teknikal sudah membuat lawatan tapak.

"Pembinaan jambatan gantung untuk SK Nangkawangan dan SK Layon juga sudah bermula beberapa hari lalu walaupun pegawai dan pekerja menghadapi kekangan cuti perayaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pensiangan, Laini Agindang merakamkan penghargaan atas inisiatif diambil Arthur bagi memudahkan perjalanan guru untuk pulang bertugas di Mukim Tatalaan, Nabawan.

Beliau turut berharap bantuan itu dapat menjadi pendorong kepada warga pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas di samping meningkatkan motivasi guru untuk terus berkhidmat di kawasan pedalaman.

Sebelum ini, lapan guru dilaporkan terpaksa berjalan kaki untuk kembali ke beberapa sekolah di Nabawan yang terputus laluan perhubungan darat akibat banjir.

Selain itu, banjir di daerah berkenaan turut merosakkan jambatan gantung yang menjadi laluan utama penduduk dan murid sekolah di SK Nangkawangan, Nabawan hingga menyebabkan mereka menggunakan rakit dan 'zip line' untuk menyeberang sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 4:32 PM