WARGA Rohingya menceritakan penderitaan dialami etnik mereka di Arakan, Myanmar.
WARGA Rohingya menceritakan penderitaan dialami etnik mereka di Arakan, Myanmar.
Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: RM74.9 juta. Itulah anggaran perbelanjaan diperuntukkan kerajaan Malaysia terhadap 6,936 pelarian dari Myanmar termasuk etnik Rohingya yang ditahan di 12 depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara bagi tempoh setahun.

Harian Metro difahamkan, setiap pelarian yang ditahan diperuntukkan sebanyak RM30 hingga RM35 sehari termasuk RM8 hingga RM12 bagi kos makanan.

Sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, jika kos setiap pelarian itu dikira sebanyak RM30 sehari, setiap bulan sebanyak RM900 diperuntukkan kerajaan untuk kos makanan, rawatan dan penempatan untuk seorang pelarian.

“RM900 darab dengan keseluruhan 6,936 etnik Rohingya yang ditahan di seluruh negara... Kosnya melebihi RM74.9 juta,” katanya kepada Harian Metro selain memberitahu, 6,936 pelarian etnik Rohingya itu tidak termasuk lagi mereka yang baru ditahan selepas mendarat di Langkawi, baru-baru ini.

Kos perbelanjaan semua tahanan termasuk etnik Rohingya itu dipersetujui Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz yang ketika dihubungi Harian Metro memberitahu, kos perbelanjaan harian semua tahanan termasuk warga Myanmar itu antara RM30 hingga RM35.

“Kos perbelanjaan itu masih sama seperti sebelum ini. RM30 hingga RM35 itu termasuk kos penginapan, rawatan dan makanan (RM8 hingga RM12),” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 7:43 AM