KHAIRUL Dzaimee mengadakan lawatan ke pejabat pasport Putrajaya. FOTO SAMADI Ahmad
KHAIRUL Dzaimee mengadakan lawatan ke pejabat pasport Putrajaya. FOTO SAMADI Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tiga minggu sudah berlalu namun pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih meneruskan usaha mengesan baki 60 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi 20 April lalu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara itu selepas

memecahkan pintu blok dan grill penghadang.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya masih meneruskan usaha mengesan 60 etnik Rohingya yang melarikan diri.

Menurutnya, suspek dipercayai berada dalam komuniti masing-masing seperti di Pulau Pinang dan Selayang, Kuala Lumpur.

"Hukuman berat bakal dikenakan kepada individu yang didapati melindungi tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri itu.

"Mereka yang melindungi atau menggajikan PATI boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 sehingga mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama," katanya.

Menurutnya, sejak tahun 2019 sehingga kini, seramai 2,200 etnik Rohingya ditahan di depoh JIM seluruh negara.

"Warga Rohingya yang memasuki negara ini secara haram tidak akan dibebaskan dan akan ditahan sebagai Pendatang Tanpa Izin (PATI) di depoh JIM seluruh negara ,"katanya pada sidang media Penambahbaikan Perkhidmatan Kaunter Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa di sini, tadi.

Khairul Dzaimee berkata, Malaysia sedang mengadakan rundingan dengan beberapa negara bagi tujuan penghantaran pelarian Rohingya ke negara ketiga.

Menurutnya, Jumaat lalu Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengadakan rundingan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau tidak dapat memberi penjelasan lanjut berkenaan perkara itu kerana ia d ibawah kuasa Kementerian Luar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 3:46 PM