ANGGOTA Imigresen dan Rela mengawal ketat laluan masuk Depot Imigresen sementara Relau berikutan insiden Pati merusuh. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ANGGOTA Imigresen dan Rela mengawal ketat laluan masuk Depot Imigresen sementara Relau berikutan insiden Pati merusuh. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang diminta menyerahkan diri di balai polis terdekat.

Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Yusof Ali berkata, etnik Rohingya yang berada di sekitar negeri ini juga diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa supaya tidak melindungi tahanan yang lari ke rumah mereka.

"Tahanan yang lari saya minta mereka serah diri demi keselamatan diri, manakala bagi etnik Rohingya yang tinggal di luar sana, jangan simpan tahanan yang lari.

"Jika lindungi tahanan yang lari, kita akan berdepan dengan masalah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, lebih baik serahkan mereka kepada pihak berkuasa atau balai polis terdekat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehingga jam 6 pagi ini, media melaporkan seramai 96 tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Pulau Pinang, kelmarin belum dijumpai.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dipetik berkata, ketika ini pelbagai tindakan giat diambil bagi mengesan kedudukan mereka.

Katanya, hampir 80 peratus tahanan yang belum diitemukan itu adalah individu lelaki dewasa.

Yusof berkata, setiap etnik Rohingya yang berada di dalam negara ini perlu menghormati undang-undang di Malaysia.

Katanya, dia sangat berharap kejadian ini tidak akan berulang dan satu penyelesaian terbaik dapat dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap isu etnik Rohingya.

"Saya difahamkan yang lari dari tahanan ini bukan saja etnik Rohingya, ada juga pendatang asing tanpa izin (Pati) negara lain.

"Bagaimanapun kejadian ini perlu dijadikan iktibar di masa depan supaya tiada lagi etnik Rohingya mengambil jalan singkat mudah mengikut arahan rakan-rakan lain tanpa hala tuju ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 1:02 PM