M Hifzuddin Ikhsan

Bandar Baharu: Tahanan etnik Rohingya yang merusuh dan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap semalam, sempat mengadu kepada penduduk kampung mengenai kematian rakan mereka ketika ditahan.

Penduduk Kampung Tengah Relau, Mohamad Assraf Firdaus Mohd Yusof, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa rakan sedang berehat sebelum dimaklumkan mengenai rusuhan yang berlaku kira-kira 3.30 pagi.

Katanya, sebaik tiba di hadapan depot, mereka melihat tahanan dewasa dan kanak-kanak kecil mula keluar beramai-ramai menuju Sungai Rambai sambil menjerit.

"Ketika itu kami cuba menenangkan tahanan terbabit agar tidak bertindak agresif, malah turut memberikan rokok untuk memujuk mereka supaya tidak melarikan diri.

"Beberapa tahanan kemudian mengadu mendakwa terdapat tiga rakan mereka meninggal dunia ketika dalam tahanan kerana tidak diberi ubat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Relau bertindak merusuh dan melarikan diri dengan enam daripada mereka maut selepas dirempuh kenderaan di KM168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 6.50 pagi.

Muhamad Assraf berkata, dia turut cedera pada kaki kiri selepas terpaksa bergelut dengan seorang daripada tahanan di kawasan Sungai Rambai.

MOHAMAD Assraf Firdaus cedera di kaki kiri ketika bergelut dengan Pati etnik Rohingya yang merusuh di Depot Imigresen Sementara Relau. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHAMAD Assraf Firdaus cedera di kaki kiri ketika bergelut dengan Pati etnik Rohingya yang merusuh di Depot Imigresen Sementara Relau. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Saya kemudian mengekori kumpulan tahanan terbabit dan cuba menarik baju salah seorang daripada mereka, tanpa disedari tahanan lain bertindak menendang motosikal yang ditunggang.

"Akibatnya saya terjatuh ke atas jalan raya dan terpaksa bergelut dengan seorang tahanan lelaki sebelum dapat menindih dan mengikat tangannya menggunakan kain pelikat," katanya.

Katanya, sepanjang mengekori kumpulan tahanan terbabit, dia bersama penduduk kampung berjaya membantu menangkap lebih 10 tahanan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Kami mengekori sambil memujuk mereka sejauh 14 kilometer sehingga ke kawasan kebun sawit berdekatan Kampung Sungai Kechil, keadaan ketika itu mula kelam kabut apabila kumpulan tahanan cuba berpecah.

"Ketika itu sekumpulan tahanan merosakkan pagar Lebuhraya PLUS dan cuba melintas jalan, kami cuba panggil balik tetapi gagal menyebabkan mereka dilanggar kenderaan yang laju," katanya.

Muhamad Assraf berkata, akibat kecederaan pada bahagian kaki, dia terpaksa berehat seharian semalam, dan perlu menggunakan tongkat untuk bergerak ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 3:18 PM