Baharom Bakar

Kuala Nerus: Ahli parlimen diarahkan membelanjakan 70 peratus atau RM1.75 juta daripada RM2.5 juta peruntukan keseluruhan diterima untuk membantu golongan B40.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada semua ahli parlimen itu membuktikan keprihatinan kerajaan kepada rakyat, terutama golongan B40.

"Penularan Covid-19 memberi kesan kepada seluruh rakyat terutama B40.

"Arahan Perdana Menteri ini bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 yang terkesan susulan penularan pandemik ini," katanya kepada media di sini, semalam.

Ahmad Amzad berkata demikian ketika menyantuni 100 anak yatim pada Program Kasih Ramadan EPIC.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad Ridzuan Ali.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, lapan rumah dengan kos keseluruhan RM550,000 akan dibina di empat kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) di Parlimen Kuala Terengganu.

Projek bagi membantu masyarakat yang tidak berkemampuan membina rumah sendiri tetapi memiliki tanah dijangka mengambil masa antara empat hingga lima bulan untuk disiapkan.

"Penduduk yang dipilih tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan termasuk kos kerja-kerja pendawaian elektrik dan pemasangan paip," katanya.

AHMAD Amzad (kanan) dan Ridzuan (kiri) ketika menyantuni anak yatim pada program Kasih Ramadan EPIC, semalam. FOTO Baharom Bakar
AHMAD Amzad (kanan) dan Ridzuan (kiri) ketika menyantuni anak yatim pada program Kasih Ramadan EPIC, semalam. FOTO Baharom Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 12:33 PM