Yusmizal Dolah Aling


Bukit Mertajam: "Bantuan ini sangat bermakna kepada anak-anak di pusat jagaan ini. Mereka sungguh gembira.

"Kami sangat bersyukur dengan bantuan yang diterima. Semoga dengan adanya sumbangan ini, mereka akan gembira terutamanya pada hari raya nanti," kata Penyelia Pusat Jagaan Permata Kasih Mengkuang, Atiah Ismail.

Katanya, pusat itu memerlukan bantuan orang ramai untuk menampung keperluan 30 orang anak-anak di situ.

Menurutnya, penghuni pusat berkenaan terdiri daripada anak asnaf dan keluarga susah di sekitar Pulau Pinang.

"Sebelum ini kami menerima bantuan daripada orang ramai termasuk untuk membeli van bagi kemudahan penghuni. Saya hargai bantuan ini. Terima kasih Harian Metro dan Kedai Ayamas," katanya ketika menerima sumbangan Titipan Kasih Harian Metro - Kedai Ayamas yang disampaikan Pengarang Eksekutif Harian Metro Muhamad Safar Ahmad.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas Mohamad Izham Mohamad Haroun dan Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Sementara itu, Muhamad Safar berkata, sumbangan berkenaan diharapkan dapat meringankan beban penghuni rumah berkenaan terutama ketika sambutan Aidilfitri berbaki kurang seminggu lagi.

Katanya, ia sebagai satu tanggungjawab Harian Metro bersama rakan strategik menyantuni golongan memerlukan.

HUSAIN Jahit (dua kanan) bersama Abd Rahman Md Dawi (kanan) beramah mesra bersama anak-anak Yatim dan Orang-orang Tua ketika di Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro. FOTO Sharul Hafiz Zam
HUSAIN Jahit (dua kanan) bersama Abd Rahman Md Dawi (kanan) beramah mesra bersama anak-anak Yatim dan Orang-orang Tua ketika di Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro. FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam pada itu, Mohamad Izham berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat bersama-sama berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.

Katanya, dengan cara ini, pihaknya dapat menyantuni anak pusat jagaan ini yang sudah tentunya melalui pengalaman berbeza di dalam menyambut hari raya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 557090309604 (Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 3:58 PM