Siti Rohana Idris

BEKALAN dadah diseludup dari negara jiran sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diedarkan dalam kuantiti minimum bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Taktik itu dipercayai digunakan pengedar pil kuda dan ketum yang berjaya dikesan di sebuah bangsal di Kampung Mentua, Pengkalan Pengkalan Kubor, di Tumpat, Khamis lalu dengan rampasan sebanyak 82 biji pil kuda dan 17.5 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM2,733.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya percaya semua bekalan dadah itu diperoleh sebelum PKP dan disebabkan permintaan masih ada, pengedar terpaksa mengedar dalam jumlah minimum dipercayai bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Dalam serbuan pada 12.30 tengah hari, kita menahan lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pengedar dadah dan menyimpan bekalan pil kuda serta daun ketum di bangsal itu yang akan dijual sepanjang tempoh PKP.

“Manakala, dalam kejadian berasingan, kami menahan lelaki berusia 25 tahun di sekat pintas di Kubang Pak Itam, Pasir Mas dan menemui dua biji pil kuda pada pemeriksaan di badannya,” katanya kepada pemberita di Tumpat, hari ini.

RONDAAN menggunakan bot di perairan Sungai Golok bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor sepanjang Pengkalan Kubor hingga Pos Pulau, Pasir Mas. FOTO Siti Rohana Idris
RONDAAN menggunakan bot di perairan Sungai Golok bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor sepanjang Pengkalan Kubor hingga Pos Pulau, Pasir Mas. FOTO Siti Rohana Idris

Terdahulu, beliau mengadakan rondaan di perairan Sungai Golok bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Pos Pulau, Pasir Mas, sejauh kira-kira 21 kilometer (km).

Azhari berkata, sejak Batalion 7 mengambil alih penugasan Op Wawasan Kelantan daripada Batalion 9 PGA bermula 16 Mac lalu, sebanyak 19 rampasan dan tangkapan sudah dilakukan.

Menurutnya, paling banyak adalah membabitkan rampasan di bawah Kawal Selia Padi dan Beras Nasional iaitu 10 kes dengan nilai RM187,000.

“Pada masa ini kami lebih memfokuskan kepada penugasan Op Covid-19 untuk mengekang penularan wabak ini.

“Walau bagaimanapun kami sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi membanteras sebarang bentuk penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

PASUKAN dari unit rondaan bermotosikal Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan penugasan sempena PKP sepanjang Kuala Jambu, Tumpat sehingga Jeram Perdah, Rantau Panjang. FOTO Siti Rohana Idris
PASUKAN dari unit rondaan bermotosikal Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan penugasan sempena PKP sepanjang Kuala Jambu, Tumpat sehingga Jeram Perdah, Rantau Panjang. FOTO Siti Rohana Idris

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:56 PM