SEBANYAK 800kg daun ketum dianggarkan bernilai RM800,000 yang dirampas oleh PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di Kampung Geting, Tumpat, malam tadi. FOTO ihsan PPM
SEBANYAK 800kg daun ketum dianggarkan bernilai RM800,000 yang dirampas oleh PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di Kampung Geting, Tumpat, malam tadi. FOTO ihsan PPM
Siti Rohana Idris


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan lima individu dan merampas 800 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan di Kampung Geting, di sini, malam tadi.

Rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM80,000 itu dibuat di sebuah rumah dan dalam kereta di hadapan rumah terbabit pada 10 malam.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, dalam Op Benteng khas musim perayaan itu, pegawai dan anggotanya membuat intipan serta pemantauan selama satu jam.

"Kelihatan dua lelaki sedang memunggah sesuatu dari dalam rumah sebelum memasukkannya ke dalam kereta Proton Gen-2 yang terletak di hadapan kediaman itu.

"Anggota kami menahan dua lelaki itu dan memeriksa kereta itu sebelum menemui 11 plastik hitam mengandungi bungkusan diikat getah berisi daun ketum," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Norzaid berkata, seterusnya serbuan dibuat dalam rumah dan menahan tiga individu termasuk dua wanita dan menemui 2,982 bungkusan plastik sama dan daun ketum bertaburan di lantai ruang tamu, bilik tidur dan dapur.

Beliau berkata, pihaknya daun ketum itu dibawa dari utara untuk diseludup ke Thailand dengan menjadikan rumah itu sebagai transit.

"Semua daun ketum serta lima suspek berusia sekitar 20-an hingga 30-an dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Sempena penugasan untuk musim perayaan ini, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor komited meneruskan operasi untuk mencegah serta mengekang aktiviti penyeludupan di perairan sempadan negara," katanya.

Beliau berkata, memandangkan perayaan Aidilfitri semakin hampir, kemungkinan banyak barangan kontraban diseludup keluar masuk untuk pasaran tempatan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti mencurigakan di sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:47 PM