HANYA 36 jenis mercun yang dibenarkan untuk dijual termasuk bunga api, pop-pop, ‘happy boom glow of sunset’ dan ‘happy boom sunset bar’. FOTO Arkib NSTP
HANYA 36 jenis mercun yang dibenarkan untuk dijual termasuk bunga api, pop-pop, ‘happy boom glow of sunset’ dan ‘happy boom sunset bar’. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Hanya enam daripada 13 syarikat di Kelantan yang membuat permohonan bagi menjual mercun sepanjang Ramadan ini memperoleh permit untuk itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya meluluskan permohonan syarikat itu kerana mereka mempunyai stor untuk menyimpan mercun dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

"Kita tidak luluskan permohonan syarikat yang tidak mempunyai stor dan tiada ciri-ciri keselamatan," katanya ditemui selepas menerima sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya 36 jenis mercun yang dibenarkan untuk dijual termasuk bunga api, pop-pop, 'happy boom glow of sunset' dan 'happy boom sunset bar'.

"Permohonan untuk menjual selain daripada 36 jenis mercun itu kita akan tolak. Kita tidak mahu ada kemalangan hingga boleh menyebabkan kehilangan anggota badan.

"Kami menerusi pasukan pemantau akan sentiasa membuat pemantauan dan tinjauan di bazar Ramadan serta premis di semua daerah bagi mengawal penjualan mercun. Hanya peniaga yang mempunyai lesen sahaja boleh menjualnya," katanya.

Shafien berkata, tindakan akan diambil kepada peniaga yang tidak mempunyai lesen dan menjual mercun yang tidak dibenarkan.

Beliau meminta ibu bapa atau penjaga memantau anak bagi mengelakkan mereka bermain mercun berbahaya hingga boleh menyebabkan kecederaan.

"Setakat ini, hanya ada satu kes mangsa yang cedera selepas terkena mercun bola dan ia berlaku di Bachok minggu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 1:27 PM