OPERASI mencari dan menyelamat guru yang dikuatiri lemas ketika keluar memukat. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
OPERASI mencari dan menyelamat guru yang dikuatiri lemas ketika keluar memukat. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh dikuatiri lemas ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, 12.45 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa Sugani Yasin, 51, melakukan aktiviti memukat bersama 15 rakan.

Katanya, bilik gerakan menerima laporan daripada orang awam di kawasan muara sungai Kuala Baru, Kampung Mangkuk.

"Seorang rakan mangsa menyatakan dia bersama 15 individu menaiki bot dari pantai Kampung Fikri bagi tujuan memukat ikan sekitar 9 malam.

"Kumpulan itu memilih lokasi kejadian untuk melabuhkan pukat dan apabila waktu menaikkan pukat, saksi menyatakan 11 individu turun menarik pukat.

"Manakala mangsa bersama tiga lagi rakan hanya berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut," katanya.

Afandi berkata, walau bagaimanapun, tanpa disedari mangsa termasuk laluan air dalam dan terus tenggelam dihanyutkan arus.

"Mangsa gagal diselamatkan oleh tiga rakan yang berdekatan.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada 1.40 pagi dengan kekuatan 19 anggota dan pegawai polis, 13 anggota bomba dan penyelamat, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

Sementara itu, Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Razli Rapiae berkata, operasi menyelamat turut dibantu BBP Kuala Terengganu dan Jerteh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 1:08 PM